Malaysia

Apalah nasib kami……rumah dah kena roboh –

SHAH ALAM – Pembangkang kesal dengan tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah penduduk di Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir semalam.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, tindakan perobohan itu disifatkan penindasan kepada rakyat.

“Sepatutnya ada perbincangan antara kerajaan negeri dan penduduk yang memberikan keputusan ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak sebelum tindakan perobohan dilaksanakan.

“Atas prinsip kemanusiaan, saya minta keprihatinan kerajaan negeri segera selesaikan masalah tempat tinggal kepada mangsa perobohan rumah termasuk berjumpa penduduk bagi menyelesaikan segala keputusan yang akan diambil kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, beliau amat simpati dengan nasib menimpa penduduk di kawasan itu selepas kerajaan negeri merobohkan kediaman penduduk tanpa notis pemberitahuan.

“Makluman awal yang saya terima ialah perbincangan antara kerajaan negeri dan wakil penduduk telah bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan rumah ini sehingga November depan.

“Perkara ini selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti UPSR, PSRA, PT3, SPM dan STPM,” katanya.

Rizam berkata, penduduk bukan tidak bersetuju berpindah tetapi memohon sedikit masa lagi untuk mereka bersedia.

“Penduduk Sungai Kedondong ini juga dijanjikan penawaran sebuah Rumah Selangorku sebagai ganti tetapi rumah ini dijangka siap pada tahun 2021 dan sehingga kini tiada lagi pembinaan di kawasan yang ditawarkan.

“Selain itu, penduduk juga tidak ditawarkan penempatan sementara dan pampasan atau duit sewa kepada keluarga mangsa,” katanya.

Semalam, ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, operasi merobohkan rumah yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor itu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Menurutnya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras menjelaskan tindakan itu bertujuan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di Paya Jaras iaitu projek rancangan tebatan banjir yang tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu.

Mohd Khairuddin Othman berkata, masalah banjir terpaksa terus diharungi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu akibat kelewatan projek tersebut.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini membabitkan kos RM5.93 juta dirancang sejak 2008. Ia bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

“Bagaimanapun, sehingga kini ia diberi dua kali lanjutan masa (EOT) iaitu dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan EOT kedua bermula 26 Julai 2018 hingga 18 September lalu.

“Lanjutan ini disebabkan keengganan penduduk yang mendiami struktur kediaman secara haram terbabit untuk berpindah,” katanya kepada SelangorKini.

Susulan itu, Selangor menanggung kerugian kira-kira RM2,125.02 sehari. Manakala kerugian lain sekitar RM715,574.20 yang membabitkan bahan binaan seperti geotekstil, selimut kawalan hakisan dan sistem tembok mekanikal penstabil bumi yang telah lama berada di tapak menjadi rosak kerana terbiar serta tidak digunakan.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata, kelewatan projek itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

“Tindakan meroboh ini adalah mematuhi semua prosedur dan undang-undang ditetapkan,” katanya, dengan menambah Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk terbabit.

Berikut kronologi berhubung isu itu yang kini menarik lebih perhatian susulan perobohan tersebut:

Awal 1980-an: Masyarakat pendatang asing mula mendiami pinggir Sungai Kedondong. Selepas tahun 2000, jumlah itu bertambah dengan lebih ketara sehingga, pada masa ini, terdapat 82 rumah.

2008: Kerajaan Negeri memulakan kajian dan perancangan bagi mengatasi isu banjir di Paya Jaras.

2 Disember 2015: Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong membabitkan komponen utama sepanjang 1.15 kilometer bernilai RM5.93 juta dimulakan. Ia dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

12 Mei 2016: Penyerahan notis bagi bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara bagi kesalahan menduduki tanah Kerajaan tanpa kebenaran sah.

20 Julai 2016: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan penangguhan penguatkuasaan bagi mencari penyelesaian berhubung keengganan pemilik berpindah.

21 Julai 2016: Bancian semula jumlah struktur binaan di situ dijalankan oleh Unit Penguatkuasa PDT Petaling.

22 Februari 2017: Taklimat isu penempatan di Sungai Kedondong dan Sungai Pelempas untuk mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan YB Haji Zaidy Abdul Talib di Pejabat YB Dato’ Iskandar Abdul Samad di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

1 Julai 2017: EOT pertama diperolehi, bermula 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018.

26 Julai 2018: EOT kedua diperolehi, dari 26 Julai 2018 hingga 18 September 2019.

3 Disember 2018: Jabatan Audit Negara membentangkan laporannya di Parlimen berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.

5 Ogos 2019: Hasil libat urus Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, yang dimulai 3 Ogos, seramai 82 pemilik struktur haram itu ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

5 Ogos 2019: PDT Petaling telah menyampaikan notis bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada semua penduduk yang terlibat.

4 September 2019: Sekumpulan penduduk terbabit mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SSAAS) di Shah Alam.

17 September 2019: Unit Penguatkuasa PDT Petaling telah turun membuat bancian struktur di plot C dan D.

18 September 2019: Kerja merobohkan struktur kediaman haram atas plot C dan D di pinggir Sungai Kedondong dijalankan. Ada sebahagian struktur tidak dirobohkan kerana anak mereka sedang mengambil peperiksaan UPKK dan PT3.

Operasi penguatkuasaan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Source
Selangor KiniSinar Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close