Malaysia

Muhyiddin, Shafie dipecat kerana kritik 1MDB di luar Kabinet – Najib

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dipecat kerana mereka membuat kenyataan di luar Kabinet, berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendakwa pemecatan Muhyiddin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2016 bukan disebabkan tidak bersetuju dengan beliau (Najib) mengenai 1MDB.

Menurut Najib, pemecatan itu adalah kerana Muhyiddin menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada orang ramai dan bukan kepada Kabinet

“Saya tidak pernah pecat menteri kerana dia tidak setuju tetapi kerana membuat kenyataan di luar,” katanya ketika menjawab soalan balas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi hari ini.

Najib turut menafikan bahawa penyingkiran Muhyiddin dan Shafie berikutan kedua-dua mereka tidak bersetuju dengannya mengenai syarikat pelaburan negara itu.

Terdahulu, Najib dalam keterangan bela diri dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), berkata kuasa perdana menteri Malaysia adalah tidak mutlak.

Najib bersetuju dengan Thomas bahawa perdana menteri memegang kuasa besar dalam negara, termasuk dalam urusan melantik individu ke jawatan utama dalam syarikat yang berkaitan dengan kerajaan.

Bagaimanapun, Najib menjelaskan bahawa kuasa itu masih mempunyai batasannya.

Menjawab cadangan Thomas bahawa Najib memegang jawatan sebagai menteri kewangan ketika itu untuk membiayai dana kepada 1MDB dengan mengeluarkan jaminan kerajaan, Ahli Parlimen Pekan itu menjawab, “tidak setuju.”

Thomas: Saya cadangkan kamu menjadi menteri kewangan supaya kamu boleh menggunakan Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan dana supaya memberi pinjaman kepada 1MDB dengan mengeluarkan jaminan kerajaan?

Najib: Saya tidak bersetuju.

Thomas: Sebagai perdana menteri, kamu tidak boleh melakukannya (menggunakan perbendaharaan dan MOF untuk dapatkan dana), tetapi sebagai menteri kewangan, kamu boleh berbuat demikian?

Najib: Tidak setuju.

Sementara itu, Najib berkata beliau hanya memberikan persetujuan secara tersirat bagi jaminan kerajaan terhadap pinjaman kedua oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM2 bilion pada 2012.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close