Tommy dan Najib ‘bertikam lidah’ lagi

KUALA LUMPUR: Suasana di Mahkamah Tinggi hari ini tegang sekali lagi apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Datuk Seri Najib Razak ‘bertikam lidah’ pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Pertikaman lidah kali ini bermula apabila Tommy membangkitkan mengenai dana SRC yang dibekukan oleh Kerajaan Switzerland pada 2015, selepas disyaki ia adalah hasil daripada pengubahan wang haram.
Tindakan Tommy yang berterusan mengasak Najib mengenai perkara itu menyebabkan keadaan menjadi tegang, malah Najib sesekali meninggikan suara.
Tommy dalam soalannya, berkata dana terbabit iaitu yang dipinjam SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dibekukan dan ia menyebabkan masalah aliran tunai sehingga syarikat terbabit tidak dapat membayar balik pinjaman.
Menurut Tommy, tidak dibuktikan sehingga kini di mahkamah apa yang sebenarnya berlaku kepada sebahagian besar daripada wang RM4 bilion yang dipinjam SRC daripada KWAP.
Najib bagaimanapun menjawab soalan balas Tommy dengan menyatakan bahawa SRC yang sepatutnya mengambil langkah untuk mendapatkan kembali dana yang ‘hilang’ itu.
Najib menyatakan tidak pasti berapa jumlah wang yang dibekukan dalam akaun di Switzerland, bagaimanapun menegaskan bahawa dia mahu dana itu dibawa balik ke negara ini.
Tommy: Tapi kamu tidak mengambil apa-apa tindakan?
Najib: SRC sepatutnya ambil tindakan.
Tommy: Bukan SRC yang dibicarakan, Datuk, tetapi kamu. Kamu tidak terkejut ke (apabila mendapat tahu wang itu dibekukan)?
Najib: Ya, saya terkejut tetapi SRC sepatutnya yang kena buat (ambil tindakan).
Tommy: Saya katakan bahawa kamu tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyiasat. Ini wang pembayar cukai tetapi kamu tidak berbuat apa-apa?
Najib: SRC yang sepatutnya melakukannya (sambil meninggikan suara).
Tommy: RM4 bilion daripada dua pinjaman daripada KWAP hilang begitu saja?
Najib: Saya tidak setuju kerana kita belum sahkan mengenai dana itu.
Tommy: Jadi, kamu masih menyatakan ‘beberapa aset masih di Switzerland’?
Najib: Itu kita kena buktikan!
Tommy: Saya katakan bahawa duit itu hilang dan ia disalah guna?
Najib: Saya tidak setuju
Ditanya sama ada beliau bertanya kepada lima pengarah SRC mengenai apa yang berlaku kepada wang RM4 bilion itu, Najib berkata dia tidak memanggil pengarah terbabit.
Najib turut menafikan cadangan Tommy bahawa dia (Najib) enggan menghantar Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ke Switzerland kerana tidak mahu menteri itu mengetahui perkara sebenar.
Katanya, permintaan Ahmad Husni untuk ke Switzerland dibuat secara tidak rasmi dan dia (Najib) juga dimaklumkan bahawa terdapat delegasi yang dihantar sebelum itu untuk memastikan wang berada di dalam bank dan mereka (delegasi) berpuas hati.
Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, dalam keterangannya, berkata keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah pergi ke Lugano, Switzerland pada September 2013 bagi memastikan wang syarikat disimpan dengan selamat.
Sementara itu, Najib menafikan bahawa dia mengehadkan peranan Ahmad Husni dalam perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC dan menyatakan bahawa Ahmad Husni terbabit dengan perjanjian pinjaman.
Tommy: Saya katakan bahawa kamu tidak mahu beliau (Ahmad Husni) terbabit dalam aspek operasi 1MDB?
Najib: Saya tidak setuju, Ahmad Husni menjawab di Parlimen mengenai 1MDB. Sudah tentu beliau tahu mengenai operasi.
Tommy: Kamu tidak mahu beliau tahu perkara sebenar mengenai 1MDB dan SRC. Saya katakan kamu tidak mahu Husni mendapat tahu bahawa apa yang kamu cuba sembunyikan?
Najib: Tidak setuju
Tommy: Apa yang kamu jawab hari ini di mahkamah pun ada banyak benda yang disembunyikan, bukan perkara sebenar?
Najib: Tidak setuju.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Rabu depan.