Letusan gunung berapi NZ: Hanya seorang rakyat Malaysia terbabit

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan hanya seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam bencana letusan gunung berapi di White Island, New Zealand, 9 Disember lalu.
Menerusi satu kenyataan, hari ini, Kementerian Luar memaklumkan pengesahan itu diterima daripada Pusat Koordinasi Kecemasan, Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.
“Mangsa adalah pemegang taraf Pemastautin Tetap Australia yang berada dalam keadaan kritikal dan akan dipindahkan ke Sydney, Australia untuk menerima rawatan lanjut.
“Mangsa dijadualkan untuk dipindahkan ke Sydney esok, bagaimanapun urusan penghantaran mangsa ke Australia bergantung kepada penilaian pihak Hospital Christchurch ke atas keadaan beliau,” katanya.
Kementerian Luar turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan New Zealand dan pihak berkuasa tempatan atas bantuan yang dihulurkan kepada mangsa-mangsa yang terbabit dalam bencana ini.
Kelmarin, BH melaporkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand memaklumkan seorang pelancong rakyat Malaysia dikhuatiri maut dalam letupan gunung berapi White Island yang terletak di bahagian Pulau Utara negara itu.

Portal stesen televisyen negara New Zealand, tnz.com.nz, yang memetik kenyataan pegawai di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia berkata, pihaknya masing menunggu laporan berhubung tragedi itu dan siasatan masih diteruskan.
Gunung berapi di White Island yang juga dikenali sebagai Whakaari terletak di Bay of Plenty meletus sejak Isnin lalu dan melepaskan abu dan wap besar di udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu.