Malaysia

Warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran

KUANTAN, 17 Dis — Seorang warga emas yang dipercayai mengalami masalah mental ditemukan rentung, selepas rumahnya di Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) Kampung Perak di Jerantut, dekat sini terbakar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa Mohamad Daud, 68, yang tinggal berseorangan di rumah itu selepas berpisah dengan isterinya sejak 30 tahun lalu ditemukan dalam keadaan terbaring di katil.

“Kebakaran disedari seorang penduduk yang baru pulang dari kedai makan sekitar 9.30 malam dan siasatan awal pihak bomba tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada api pelita yang ditemui berhampiran mangsa.

“Mangsa difahamkan kali terakhir dilihat oleh dua remaja yang menghantar makanan kepadanya selepas mangsa mengadu lapar sekitar 7 petang,” katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mazlan berkata berdasarkan keterangan dua remaja itu, mangsa yang tidak bekerja dikatakan merokok di pintu hadapan rumah berkenaan semasa mereka hendak beredar selepas menghantar makanan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut bagi bedah siasat dan setakat ini, tiada unsur jenayah dipercayai berlaku dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.43 malam dan dua jentera daripada Balai Bomba Jerantut serta Jengka bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi terlibat.

Operasi memadam kebakaran rumah yang dibina menggunakan batu dan kayu itu tamat pada 10.15 malam dan buat masa ini, jumlah kerugian masih dalam siasatan.

— BERNAMA

Source
Bernama
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close