Malaysia

Ingat bunyi kucing…rupanya

“SAYA sangka bunyi itu adalah anak kucing, tetapi apabila didekati saya terkejut melihat bayi di dalam kain putih,” kata Bahari Udin, 81, yang menemui bayi perempuan ditinggalkan di Masjid Kariah Kuala Sungai Dua di Kuala Pilah, hari ini.

Bahari yang juga bilal masjid berkenaan menemui bayi itu ketika membuka pintu masjid untuk mengazankan solat Subuh, jam 5.30 pagi.

“Memang rutin harian saya datang awal ke masjid dan ketika lampu bahagian belakang dibuka, saya terdengar bunyi seolah-olah anak kucing.

“Selepas itu, saya melihat ada objek bergerak-gerak di dalam bungkusan kain putih yang diletakkan atas lantai. Saya menghampiri objek itu dan terkejut melihat rupa-rupanya bayi yang masih hidup,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bahari berkata, dia memaklumkan penemuan itu kepada jemaah lain yang datang beberapa minit kemudian sebelum menghubungi polis sebaik selesai solat Subuh.

Dia tidak menolak kemungkinan bayi itu baru ditinggalkan antara jam 5 hingga 5.30 pagi berdasarkan keadaan lampin pakai buang yang masih kering serta tiada kesan gigitan nyamuk.

Katanya, ia kejadian kali pertama berlaku sejak dia memegang jawatan ahli jawatankuasa masjid kira-kira 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Gani berkata, bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 30 jam sebelum ditemui.

“Polis sedang giat mengesan ibu bapa bayi itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, Inspektor Alice di talian 019-5389941 atau 06-4842222 serta mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan,” katanya.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close