Nak beli besi buruk, kononnya…

BERPURA-PURA mahu membeli besi buruk dan barangan lusuh sebelum melarikan barang berharga dari rumah mangsa.
Itu modus operandi yang digunakan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai sedang mengandung.
Bagaimanapun, tiga suspek yang terbabit dalam kes pecah rumah di Johol dan Terachi, di Kuala Pilah itu kini diburu polis dengan fotofit salah seorang daripada mereka berjaya dilakar berdasarkan keterangan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, berdasarkan keterangan mangsa, modus operandi suspek adalah dengan membeli barang lusuh atau terpakai di kawasan kampung, menggunakan lori.
“Ketika mereka sedang melakukan proses timbangan, salah seorang daripada suspek akan masuk ke rumah mangsa tanpa disedari untuk mengambil barang berharga.
“Berdasarkan maklumat, polis berjaya melakar (fotofit) salah seorang daripada suspek,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Justeru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi IPD Kuala Pilah di talian 064842999 atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Khairul Izaq Abd Kadir (01115641601),” katanya.
Sejak semalam, tular di laman sosial satu fotofit individu yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah dengan menaiki sebuah lori, namun nombor pendaftarannya tidak dapat dikenali.