
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
KUALA LUMPUR, 23 Dis — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu kelulusan kerajaan dalam beberapa projek pembangunan, termasuk pembinaan stesen kereta api komuter, khusus untuk warganya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan sejak tahun lepas, dan proses perbincangan mengenainya masih berterusan.
“Pembinaan stesen kereta api komuter ini akan dinikmati lebih 3,000 warga PDRM dan pekerja di sekitar kawasan Bukit Aman, yang membantu melancarkan perjalanan ulang-alik mereka tanpa menggunakan kereta persendirian, yang terpaksa mengharungi kesesakan trafik yang di waktu puncak pada pagi dan petang.
“Lakaran pelan pembangunan stesen itu berhampiran terowong sebelah pintu masuk kedua Bukit Aman sudah ada, dan akan dilaksanakan selepas projek ini dimuktamadkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini.
Abdul Hamid turut menyentuh mengenai beberapa projek yang diharapkan dapat diluluskan segera termasuk sebuah dewan khas, tempat letak kereta yang lebih banyak serta dataran bagi aktiviti berkawad warga PDRM di Bukit Aman.
Abdul Hamid berkata beliau dan pengarah baharu Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Rosli Ab Rahman akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri.
“PDRM akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memberi perhatian serius terhadap dewan besar istiadat, tempat letak kereta luas serta dataran padang kawad yang sempurna,” katanya.