
BOM mortar 81 milimeter (mm) ditemui di kawasan tapak pembinaan berhampiran Jalan Metro-Sri Wang, di Sungai Petani, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, bom itu ditemui oleh pekerja pembersihan di lokasi terbabit pada 6 petang.
“Polis menerima panggilan dari seorang lelaki memberitahu menemui satu objek menyerupai bom di kawasan tapak pembinaan.
“Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dikerahkan ke lokasi dan mendapati terdapat sebutir bom dalam keadaan disaluti tanah dan berkarat.
“Pemeriksaan fizikal mendapati bom berkenaan masih aktif,” katanya.
Beliau berkata, pemaju tapak pembinaan itu masih belum dikenal pasti.
Katanya, lokasi bom itu berada jauh dari kawasan perumahan dan bukan kawasan tumpuan awam.
“Bom berkenaan sudah dialihkan dan akan di musnahkan oleh Unit Pemusnah Bom hari ini di kawasan selamat,” katanya.