
MIRI: Usaha agresif Kerajaan Persekutuan mempromosikan penggunaan minyak sawit membuahkan hasil berikutan peningkatan permintaan negara pengimport sekali gus menaikkan harga komoditi itu.
Ahli Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Senator Alan Ling, berkata promosi yang dilakukan kerajaan memberi kesan positif dan menguntungkan peladang.
“Kita yakin menerusi promosi berterusan kita dapat menggalakkan lebih banyak negara pengimport membeli komoditi itu daripada negara pengeluar seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak melepasi paras RM3,000 satu tan untuk ditutup pada RM3,003 dalam dagangan Khamis lalu, paras penutup tertinggi baharu dalam tempoh tiga tahun.
Lonjakan harga itu didorong kebimbangan kekangan bekalan yang menyebabkan pelabur terus membeli lebih banyak komoditi berkenaan menjelang akhir tahun.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu berkata, kerajaan akan terus menentang kempen anti-minyak sawit yang dilakukan negara asing.
Beliau berkata, MPOB akan terus merancang, menyelidik dan membangunkan industri minyak sawit dan kelapa sawit di Malaysia.
Tahun depan, katanya, kerajaan secara berperingkat memperkenalkan minyak biodiesel (B20) untuk meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit negara.