Malaysia

421 PPKI baharu dibuka di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membabitkan 1,109 kelas disediakan kepada hampir 7,591 Murid Berkeperluan Khas (MBK) di seluruh negara tahun ini.

Jumlah yang akan dibuka itu adalah tambahan kepada 2,418 sekolah di seluruh negara yang sudah melaksanakan PPKI di peringkat prasekolah hingga menengah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata dana bernilai RM54 juta disediakan bagi penyediaan kemudahan MBK dalam memastikan golongan berkenaan mendapat akses pendidikan lebih baik.

Selain itu, beliau menjelaskan, dana berjumlah RM16 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan 320 sekolah yang menyediakan kemudahan MBK di seluruh negara tahun ini.

“Jumlah enrolmen juga meningkat seiring pembangunan infrastruktur bagi MBK. Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan dilaksanakan kementerian, khusus bagi MBK.

“Tahun lalu, kita merekodkan peningkatan sebanyak 4,821 MBK berdaftar di sekolah menawarkan PPKI, membabitkan jumlah keseluruhan seramai 88,419 orang berbanding 83,598 pada 2018.

“Pendidikan MBK adalah inisiatif utama kementerian dengan kita sudah mengumumkan Dasar Sifar Penolakan pada 2018,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Keramat Wangsa di sini, hari ini.

PPKI (Rancangan Percantuman) bagi pendidikan kanak-kanak kelainan upaya penglihatan di sekolah rendah dan menengah arus perdana terpilih mula diperkenalkan pada 1962, sebelum kelas pendidikan khas Rancangan Percantuman kurang upaya pendengaran dilaksanakan pada 1963.

Kementerian Pendidikan kemudian memulakan kelas perintis bagi murid peringkat rendah yang mengalami masalah pembelajaran dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negara pada 1988.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Melaka untuk mengenal pasti isu kekurangan kerusi dan meja di sekolah di negeri itu berikutan ada ibu bapa mendakwa menerima arahan untuk membeli kelengkapan itu supaya diterima masuk daripada pihak pengurusan.

Ditanya mengenai isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular serta Program Sarapan Pagi (PSP), beliau bagaimanapun enggan mengulas sebelum terus meninggalkan sidang media berkenaan.

Source
BERITA HARIAN
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close