JenayahMalaysia

Dadah lebih RM1juta dirampas

MIRI: Satu sindiket pengedaran dadah didalangi tujuh individu warga tempatan dan asing tumpas dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta di enam lokasi berbeza sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din, berkata semua suspek membabitkan empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan di kawasan Pujut 2B, Desa Senadin, Jalan Muria 1, Miri Waterfront, Kampung Tudan dan Jalan Sri Dagang.

“Serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu berjaya merampas dadah jenis syabu seberat sembilan kilogram, 16,250 biji pil ecstasy, 349 gram serbuk ketamin, 449 gram serbuk ecstasy dan 2,250 biji pil Erimin 5,” katanya.

Ramli berkata, pasukan JSJ turut menyita dua kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM105,000 dipercayai digunakan suspek menjalankan kegiatan itu.

Beliau berkata, siasatan akan diteruskan bagi memburu saki-baki suspek yang dipercayai terbabit secara langsung dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar bandar raya ini, sekali gus melumpuhkan sindiket pengedaran ini.

“Dengan tumpasnya sindiket pengedaran dadah ini menjadi satu lagi kejayaan polis dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah di bandar raya peranginan ini,” katanya.

Ramli berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close