Malaysia

Hanya 3 murid Tahun 1

SAMAHARAN: Suasana kecoh yang lazimnya dikaitkan dengan pendaftaran murid Tahun 1 tidak dirasai di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Beliong di sini, yang hanya menyambut kehadiran tiga murid baru hari ini.

Kehadiran tiga murid terbabit, Amanda Raisya Saiful, Nur Rizka Nasuha Syukri dan Nurfathia Adilla Delisha Mohammad Hamizan, menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah itu kini berjumlah 23 orang.

Hanya seorang murid SJK Chung Hua Beliong itu berbangsa Cina manakala selebihnya adalah anak masyarakat Melayu yang tinggal di kampung berhampiran.

Guru Besar sekolah terbabit, Kho Hui Ling, berkata walaupun terdapat dua lagi Sekolah Kebangsaan (SK) berdekatan, ada ibu bapa menghantar anak ke sekolah itu dengan harapan dapat menguasai bahasa Mandarin selain boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina.

“Ada juga yang menganggap mudah bagi guru di sini untuk mendidik anak mereka kerana jumlah murid yang sedikit.

“Namun, bagi kami, ia masih menjadi tugas yang mencabar untuk memastikan anak-anak Bumiputera itu dapat bercakap dan membaca dalam bahasa Mandarin dengan lancar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hui Ling berkata, mereka bangga apabila murid sekolah berkenaan berjaya berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

SJKC Chung Hua Beliong ditubuhkan pada 1964, untuk anak-anak penduduk Cina, bagaimanapun disebabkan kekurangan infrastruktur dan pembangunan ekonomi, majoriti keluarga Cina berhijrah ke bandar, menyebabkan jumlah murid semakin berkurangan.

Bagaimanapun, sekolah terbabit terus beroperasi dan menerima anak-anak masyarakat Bumiputera sebagai pelajarnya.

Sementara itu, tiga murid baharu yang memulakan persekolahan hari ini menyuarakan rasa gembira meskipun hanya mereka bertiga berada dalam kelas Tahun Satu.

Mereka jelas belum memahami bahasa Mandarin dan guru terpaksa menggunakan bahasa Melayu untuk memberi penerangan kepada mereka.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close