Malaysia

Kapal ditahan pihak berkuasa Iran tiada kaitan dengan Malaysia – Saifuddin

KUANTAN – Kapal yang ditahan bersama 16 anak kapal oleh pihak berkuasa Iran di Selat Hormuz pada Isnin lepas, disahkan bukan milik Malaysia.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga mengesahkan tiada rakyat negara ini dalam kalangan 16 anak kapal yang terlibat.

“Kedutaan kita telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Luar Iran dan apa yang boleh saya katakan nama kapal itu ialah First Lady dan bendera yang dikibarkan ialah bendera Panama.

“Sesebuah kapal boleh didaftarkan di Malaysia tetapi mengibarkan bendera negara berlainan, namun dalam kes ini, pemiliknya juga bukan Malaysia… jadi kita tidak berkaitan dengan kejadian itu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Indera Mahkota di Perpustakaan Desa Indera Mahkota di sini, hari ini.

Sebuah agensi berita luar negara sebelum ini melaporkan penahanan kapal itu oleh Pengawal Revolusi Iran kerana disyaki menyeludup minyak, selain merampas 1.3 juta liter bahan api di kedudukan kira-kira 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.

Sementara itu, mengulas kematian remaja Malaysia Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid semasa bermain papan selaju di Australia, Saifuddin berkata laporan koroner dijangka diperoleh pada hari ini.

“Saya dimaklumkan pihak keluarga bersetuju untuk tidak melakukan bedah siasat ke atas jenazah, namun peraturan di sana masih memerlukan laporan koroner sebelum kita boleh menguruskan urusan membawa pulang jenazah.

“Pihak kita di sana sedang membantu supaya pemeriksaan dapat dibuat dengan secepat mungkin dan MASKargo bersetuju membantu membawa balik jenazah yang mungkin mengambil masa sehari dua lagi kerana keluarga berhasrat jenazah dikebumikan di Kuantan,” katanya.

Mohamad Farhan Fudhail, 16, maut selepas terlanggar tiang semasa bermain papan selaju bersama rakannya pada Sabtu lepas, semasa berada di negara itu untuk melawat ibunya Furhzanatul Natasha Mohd Sazali, 30-an, yang bekerja sebagai jururawat di Australia.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Pejabat Khidmat beliau bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan untuk memasang perangkap monyet di enam buah sekolah sekitar kawasan Perlimen ini, yang sering diganggu haiwan berkenaan.

“Kita menerima aduan kehadiran haiwan ini dari sekitar Bukit Sekilau hingga ke Chendor. Haiwan ini juga masuk ke kawasan asrama dan dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close