
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan mengadakan sidang media khas di Kementerian Pendidikan di sini pada jam 4.30 petang ini.
Walaupun belum dapat dipastikan butiran sebenar sidang media itu dipanggil, timbul desas-desus mendakwa Maszlee akan mengumumkan peletakan jawatannya.
Ini berikutan dakwaan mengatakan satu pertemuan antara Maszlee dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berlangsung di Pejabat Perdana Menteri sebelum sidang media berkenaan.
Memetik laporan sebuah portal berbahasa Inggeris, seorang sumber memberitahu, Maszlee berundur daripada Kabinet kerana ‘dilihat menimbulkan banyak krisis’ kepada pentadbiran Dr Mahathir.
“Peletakan jawatan ini akan memaksa rombakan Kabinet dilakukan,” kata sumber itu.