InfoMalaysia

Perokok tegar masih degil

KUALA LUMPUR – Tidak peduli! Itu rumusan hasil tinjauan MalaysiaGazette di premis makan di sekitar Ampang pada hari pertama larangan merokok dan menghisap vape dikuatkuasakan.

Bukan sahaja pelanggan melanggar arahan tersebut malah pengusaha restoran dan kedai makan juga nampaknya memandang ringan peraturan baru itu apabila mereka membiarkan asap-asap rokok dihembus di premis mereka.

Rata-rata yang menghisap rokok adalah orang muda dan mereka begitu bersahaja merokok di restoran mamak biar pun papan tanda larangan merokok jelas terpapar di situ.

Seorang pekerja restoran yang enggan dikenali memberitahu ada kalanya mereka tidak terdaya untuk menghalang kerana pelanggan semakin berkurangan jika tidak dibenarkan merokok atau menegur mereka.

“Ada juga yang kasar dengan kami. Pemilik kami juga mahu kami biarkan sahaja kerana sememangnya bisnes sudah jatuh teruk sejak kuatkuasa larangan merokok ini. Jadi kadang-kadang kami biarkan sahaja.

“Jika tegur, mereka pula cakap dengan kasar-kasar suruh kami diam. Rata-rata yang kerja dalam restoran ini pula datang dari India, jadi ada juga akan ingatkan kami bukan dari sini.

“Jadi apa daya kami sebenarnya? Kami terpaksa tutup mata sahaja,” dedah lelaki separuh umur itu.

MalaysiaGazette juga sempat menemubual Pengurus Restoran Shiraj di Permai Jaya, Ampang, Mariam Idris yang mengakui pihaknya juga mengalami kerugian berikutan larangan tersebut.

“Bagaimanapun di sini kami sangat tegas, kita langsung tidak benarkan mana-mana pelanggan merokok. Seandainya merokok, kita tegur sekali dua tetapi jika diteruskan juga kita kemudian akan mengambil gambar mereka.

“Jadi pelanggan kita di restoran ini memang tahu kami tegas kerana seandainya kita tidak bertegas, kita juga terpaksa menanggung kerugian kerana saman. Jika ianya satu arahan dari kerajaan, memang kita patuh.

“Kini restoran kita juga dikunjungi oleh orang berusia atau berkeluarga sahaja. Yang muda mudi pula sudah tidak datang kerana tidak boleh merokok. Tetapi pada masa sama, kita juga tidak boleh langgar undang-undang juga,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

“Kalau degil (dan) tidak mahu bayar boleh dikenakan saman maksimum hingga RM10,000,” katanya.

Boon Chye berkata, gerakan anti merokok yang telah dimulakan sejak kebelakangan ini, telah secara signifikasinya berjaya mengurangkan jumlah perokok di tempat makan terutamanya di kawasan bandar.

“Kami berharap polisi ini akan mendapat sokongan daripada orang ramai. Bagi mereka yang tidak merokok, tentu sekali mereka gembira namun bagi perokok, saya amat berharap mereka akan mengunakan peluang ini untuk berhenti, mengurangkan ataupun menjadikan tabiat untuk tidak merokok di hadapan orang lain,” jelasnya.

Kira-kira 21 peratus orang dewasa Malaysia adalah perokok. –MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close