
Prosiding mula jam 2 petang
11.00 pagi – Perbicaraan akan bermula pada jam dua petang hari ini dan bukan pada jam 11 pagi ini.
DPP V Sithambaram berkata ini disebabkan pasukan peguam bela dan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah masih dalam pendengaran kes berasingan di mahkamah tinggi lain.
Perbicaraan tersebut melibatkan permohonan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bagi mengetepikan penangguhan yang diberikan mahkamah kepada Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina terhadapnya.
Permohonan komital itu dikaitkan dengan dakwaan Lokman mengancam bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menetapkan pendengaran kes bersambung selepas pasukan pembelaan bekas perdana menteri menghadiri dua urusan lain di mahkamah pada awal pagi ini.
Urusan pertama berkaitan sebutan kes Najib meminda laporan audit akhir 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.
Perkara kedua pula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berhubung pendengaran permohonan Lokman Noor Adam untuk membatalkan penangguhan yang diberikan kepada Pejabat Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno itu.
Prosiding komital (menghina mahkamah) itu mengenai ancaman yang didakwa dibuat Lokman terhadap bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB yang masih berjalan terhadap bekas perdana menteri. Sequerah ialah hakim yang mengetuai kes RM2.28 bilion 1MDB Najib.
Semalam, semasa perbicaraan kes RM42 juta dana SRC International, mahkamah mendengar antara lain bahawa Najib tidak kehilangan sebarang wang disebabkan apa yang dikatakan manipulasi aliran masuk wang secara besar-besaran ke dalam akaun bank bekas perdana menteri daripada ahli perniagaan berkaitan 1MDB yang kini dalam buruan Jho Low.
Semalam juga menyaksikan perkembangan di luar mahkamah yang mungkin dikaitkan dengan perbicaraan kes RM42 juta SRC, antara lainnya, peguam bela utama tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan prosiding menghina terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.
Ini berhubung pendedahan SPRM semalam mengenai rakaman audio yang didakwa mendedahkan perbualan Najib membabitkan skandal 1MDB.
SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB sebelum syarikat itu diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF) pada tahun 2012. Najib ketika itu menjadi menteri kewangan.