InfoMalaysia

Polis KL santuni penduduk PPR dan PA, kurangkan ‘fear of crime’

KUALA LUMPUR: Polis giat menyantuni penduduk di lebih 60 lokasi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu negara bagi mengurangkan kadar ketakutan masyarakat terhadap jenayah atau ‘fear of crime’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata selain itu, usaha mendekati warga PPR dan PA bertujuan menangani tiga jenis jenayah yang didapati sering berlaku di kawasan kediaman berkenaan.

“Curi motosikal, bergaduh dan kecurian ialah jenayah yang sering dilaporkan berlaku di kawasan PPR serta PA, selain masalah dadah.

“Justeru, tahun ini, polis Kuala Lumpur akan mendekati penduduk di 63 PPR dan PA sekitar ibu kota bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka untuk bersama-sama polis ke arah mengurangkan kadar jenayah.

“Selain itu, fokus kita ialah mengurangkan ‘fear of crime’ dengan mempertingkat rondaan berkala di PPR dan PA. Kehadiran polis sekali gus akan menyebabkan penduduk berasa lebih selamat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Keselamatan dan Mencegah Jenayah Sempena Kempen Komuniti Ini Tanggungjawab Anda (KITA) di PA Seri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini.

Program KITA dianjurkan Sentul Raya Sdn Bhd sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat dengan kerjasama Yayasan YTL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu mengulas peranan polis Kuala Lumpur dalam membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 pula, Mazlan berkata, pihaknya bercadang menyediakan kelas Bahasa Inggeris (BI) untuk anggota dan pegawai pasukan berkenaan.

“Kita sudah berbincang dengan beberapa pihak. Buat masa ini, pihak YTL sudah menyatakan kesanggupan untuk membantu kita merealisasikan perkara itu.

“Ini dapat membantu anggota kita, terutama memudahkan polis pelancong untuk berinteraksi dengan pelancong asing kerana umum sedia maklum bahawa Kuala Lumpur adalah hab pelancongan utama negara.

“Ini adalah salah satu strategi untuk menjaga dan menaikkan imej negara kerana kebanyakan pelancong biasanya memilih untuk mendapatkan maklumat daripada anggota polis yang mereka temui,” katanya.

Selain polis pelancong, beliau berkata, pihaknya akan menambah anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan detektif di lokasi tumpuan pelancong untuk menjaga keselamatan serta melakukan pemantauan.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close