Malaysia

Tiada pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan – KDN

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan berlaku pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan sebagaimana penularan rakaman video menerusi aplikasi Whatsapp.

KDN menegaskan, tiada sebarang perancangan untuk melaksanakan kajian secara terperinci berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, KDN menjelaskan, pelaksanaan perekodan butiran agama pada kad pengenalan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaras dengan Peraturan 4 (cc), Peraturan-Praturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).

Selain itu, kata kenyataan itu, pelaksanaan perekodan butiran agama Islam di muka hadapan kad pengenalan adalah selaras dengan Jadual Pertama, Peraturan 5(2), PPPN 1990, manakala bagi agama selain Islam hanya dimasukkan dalam cip kad pengenalan.

“KDN telah menerima sebuah rakaman video dan teks yang ditular melalui aplikasi Whatsapp pada 18 Januari lalu berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan untuk melaksanakan kajian secara terperinci berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut KDN lagi, tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Butiran agama pada kad pengenalan milik individu beragama Islam adalah salah satu elemen penting yang membantu penguatkuasaan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang syariah yang berkuat kuasa.

“Kementerian ingin menasihatkan orang ramai tidak menularkan berita atau maklumat tidak sahih kerana bimbang boleh menimbulkan ketidakselesaan rakyat dan mengganggu ketenteraman dan keamanan negara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close