InfoKESIHATANMalaysiaVIRAL

Jumlah pengimbas suhu di pintu masuk negara bakal ditambah

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pihaknya antara lain mempertimbang untuk menambah jumlah pengimbas suhu di pintu masuk dan keluar utama negara.

Menurutnya, peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan akan dipohon sebagai salah satu langkah mengesan tanda-tanda jangkitan wabak koronavirus (nCoV) bagi mereka yang tiba di Malaysia.

“Seperti yang anda tahu, pengimbas ini sangat penting. Walaupun mereka (yang dijangkiti) masih boleh lepas kerana ia asimptomatik (tidak menunjukkan simptom). Setakat ini kita ada 51 pengimbas yang berfungsi dengan baik.

“Maka ini sebabnya mengapa saya sudah minta daripada Kementerian Kewangan, bahawa untuk berdepan krisis ini, saya akan (memohon) lebih peruntukan untuk menangani (coronavirus) dan meningkatkan kemampuan dan peralatan kita,” ujarnya.

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di Dewan Hokkien Klang.

Sementara itu, Guan Eng yang turut ada dalam sidang media itu membayangkan permohonan tersebut bakal diluluskan.

“Ini isu kesihatan. Beliau boleh gunakan (peruntukan yang diminta),” kata pemimpin DAP itu ringkas.

Dalam perkembangan berkaitan, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia dua dan empat tahun dari Guangdong, China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi hari ini selepas mempunyai simptom disyaki dijangkiti nCoV.

Syarikat penerbangan Malindo Air pula mengesahkan enam anak kapal mereka dikuarantin sehingga 14 hari di Wilayah Zhengzhou, China mulai kelmarin selepas seorang penumpang dari Wilayah Hubei disyaki dijangkiti nCoV menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou.

South China Morning Post hari ini melaporkan terdapat 2,082 kes dan 56 kematian akibat penularan wabak coronavirus di China.

Source
Malaysia Dateline
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close