JenayahMalaysia

KPN beri amaran kepada penyebar maklumat palsu

CHERAS: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebar laporan palsu dan membangkitkan kegusaran masyarakat berhubung isu jangkitan coronavirus atau 2019-nCoV.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata orang awam sepatutnya mendapatkan maklumat sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) sebelum menguar-uarkan kepada individu lain.

“Sekarang terlalu ramai sangat ‘doktor pakar’ dalam kalangan masyarakat, ada ‘doktor separuh masak’ yang mengeluarkan pendapat mereka sendiri.

“Maklumat diperoleh tidak diketahui asal usulnya selepas itu disebar secara meluas untuk menakutkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Video Korporat dan Lagu Tema Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah, untuk membantu pihak berkuasa berkaitan kes penularan berita palsu.

“Saya bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Jeneral Tan Sri Affendi Buang) juga ada menghadiri mesyuarat bersama MOH pada Ahad lalu dan diberikan penerangan mengenai jangkitan ini.

“Kami diberi penerangan mengenai situasi terkini kes berbangkit,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close