Malaysia

Surat tuntutan buat Zuraida dicap terima pada 20 Jan, kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan surat tuntutan saman yang dikeluarkan terhadap Zuraida Kamaruddin, sudah dihantar ke pihak naib presiden parti terbabit.

Memaklumkannya kepada Malaysiakini, Saifuddin berkata surat terbabit dihantar ke pejabat Zuraida di Putrajaya. Untuk rekod Zuraida ialah menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Surat berkenaan dihantar ke pejabat beliau dan dicap aku terima pada 20 Jan 2020,” katanya.

Semalam media melaporkan Saifuddin membuat tuntutan terhadap Zuraida mengenai kenyataan dibuat ahli parlimen Ampang itu yang didakwa berunsur fitnah.

Bagaimanapun, Saifuddin dilaporkan membuat tuntutan tersebut atas kapasiti peribadi, bukan jawatannya dalam PKR.

Untuk rekod, Saifuddin dan Zuraida berada di dua kem berbeza dalam kemelut PKR. Zuraida adalah penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, manakala Saifuddin berpihak kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Semalam juga Zuraida memberitahu Malaysiakini beliau belum menerima apa-apa surat tuntutan daripada Saifuddin. 

“Saya tidak menerima apa-apa berhubung perkara tersebut,” katanya.

Zuraida juga berkata beliau akan membiarkan peguamnya untuk mengendalikan kes berkenaan.

Menurut Saifuddin ada dua tuduhan dibuat Zuraida sebelum ini, membabitkan dakwaan berkaitan kerajaan Kelantan serta Tabung Tok Kenali.

Menurut Saifuddin, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.

Source
Malaysiakini
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close