
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah di Kamunting. – NSTP/Zuliaty Zulkiffli
JITRA: Anggota bomba daripada tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Zon 1 mengambil masa hampir 18 jam untuk memadam kebakaran membabitkan keluasan lebih satu hektar di tapak pelupusan sampah di Kamunting, di sini, sejak jam 6 petang semalam.
Selain itu, pasukan bomba turut mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).
Ketua Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain, berkata seramai 20 anggota bertungkus lumus memadam kebakaran berkenaan sejak petang semalam.
“Kita turut menggunakan sebuah lori tangki air berkapasiti 20,000 liter dan tiga jentera yang masing-masing mempunyai bekalan air sebanyak 3,600 liter air untuk memadam kebakaran.
“Setakat ini, api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain dan anggota kami sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran itu sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi itu disertai anggota BBP Jitra, Pokok Sena dan Kuala Nerang dan proses memadam kebakaran itu dijangka selesai bergantung pada sumber air dan cuaca.
“Keadaan angin dan cuaca panas menyebabkan kebakaran merebak, namun anggota kami sedang sedaya upaya memadam api sepenuhnya,” katanya.
Ini adalah kejadian kedua membabitkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di negeri ini selain tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani
Sehingga kini, operasi pemadaman di kawasan berkenaan masih berlangsung pada hari ke 12 hari ini.