Pemandu treler rempuh jejantas ditahan

GEORGETOWN: Akibat memandu dalam keadaan cuai, seorang pemandu treler ditahan kerana merempuh jejantas di Pengkalan Weld di sini, sehingga menyebabkan struktur itu hampir runtuh, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Suffian Santong, berkata lelaki berumur 30-an yang membawa muatan jentera pengorek tanah itu ditahan kira-kira jam 4.50 petang.
“Ketika kejadian, pemandu itu dalam perjalanan dari Tanjung Bungah menghala ke Kuala Lumpur dan sudah melepasi tiga jejantas iaitu Jejantas Flat Tanjung Tokong, Jejantas Jalan Sultan Ahmad Shah, Jejantas Lebuh Faquhar, sebelum tersangkut pada Jejantas Pengkalan Weld.
“Bagaimanapun semakan mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau, malah saringan ujian air kencingnya juga adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Terdahulu, BH melaporkan sebahagian struktur jejantas di Pengkalan Weld berhadapan terminal feri di sini, rosak selepas dirempuh sebuah treler, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.20 petang tadi turut menyebabkan treler itu tersangkut di bawah jejantas berkenaan kerana melebihi ketinggian ditetapkan iaitu lima meter.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang melakukan kerja pemotongan wayar utiliti yang terikat dengan struktur jejantas itu bagi membolehkan kerja perobohan dimulakan.
Katanya, proses perobohan dan pengalihan yang bermula jam 8 malam itu dijangka dapat disiapkan malam ini juga.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambil langkah untuk merobohkan jejantas demi keselamatan orang awam,” katanya.