Malaysia

Rakyat jangan panik kemasukan kapal persiaran ke Malaysia – Anthony

PELABUHAN KLANG – Orang ramai tidak perlu panik dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan pelancong asing sama ada melalui udara, darat dan laut masuk ke negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana sebelum kapal terbang atau kapal persiaran mendarat atau berlabuh, pihak berkuasa negara ini akan mendapatkan senarai nama setiap penumpang dan keadaan kesihatan mereka.

Jika ada pelancong atau penumpang mempunyai simpton suhu badan tinggi, sakit atau demam, mereka dari awal lagi tidak dibenarkan menaiki pengangkutan berkenaan, katanya.

“Sebagai contoh, jika penumpang sesebuah kapal persiaran hendak memasuki atau berlabuh di mana-mana pelabuhan negara ini, mereka mesti menyerahkan senarai nama setiap penumpang berkenaan.

“Jika ada penumpang yang suhu badannya tinggi, sakit atau demam, mereka akan dikuarantinkan dalam kapal berkenaan dan tidak dibenarkan turun dari kapal itu.

“Bagi penumpang yang sihat pun, mereka akan melalui mesin pengimbas dan diperiksa kesihatan oleh pegawai perubatan kita yang ditempatkan di setiap pintu masuk utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang hari ini.

Anthony turut menyaksikan sebuah kapal persiaran Aidabella yang baru berlabuh di Pelabuhan Klang pagi ini yang membawa ribuan pelancong dari Jerman.

Kapal itu singgah di Singapura sebelum neneruskan perjalanan dan berlabuh di Pelabuhan Klang.

Menurut Anthony,  hampir semua penumpang atau pelancong atas kapal persiaran itu adalah warganegara Jerman dan mereka melalui pelbagai tapisan pemeriksaan kesihatan, sebelum berlabuh di negara ini.

Katanya, beliau sendiri turun membuat lawatab ke Boustead Cruise Centre untuk melihat sendiri pemeriksaan suhu badan oleh pegawai perubatan yang merupakan prosedur wajib dikendalikan di semua pintu masuk negara ini.

“Selalunya, saya pergi meninjau dan melihat prosedur ini di lapangan terbang tapi kali ini saya datang ke pelabuhan ini untuk melihat dan pemeriksaan sama juga diadakan.

“Sebab itu kita hendak memaklumkan kepada orang ramai supaya mereka tidak panik atau takut bahawa kita masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara kita, kerana ini merupakan satu sektor pelancongan yang sangat utama.

“Seperti kapal persiaran lain, kapal ini membawa warganegara dari pelbagai negara, ketika ini memang kebanyakan kapal tidak ada penumpang atau pelancong dari China,” katanya.

Ini kerana, katanya, negara China sendiri telah menyekat warganegara mereka keluar dari negara itu.

Jelas beliau, dasar atau keputusan kerajaan ketika ini ialah masih membenarkan kapal persiaran ini berlabuh di Malaysia, kerana selain memastikan rakyat selamat dari wabak itu, kerajaan juga perlu memastikan industri pelancongan terus berjalan dan tidak terjejas teruk.

“Walaupun sekarang ini memang ada kesan yang sangat negatif kerana kekurangan pelancong masuk, tetapi kita hendak meyakinkan orang ramai bahawa segala prosedur kesihatan dijalankan sebelum pelancong ini dibenarkan mendarat dan masuk ke negara kita.

“Untuk prosedur kapal, sebelum mereka masuk, senarai nama penumpang telah diberikan kepada penguatkuasa kita iaitu kepada setiap operator dan kepada Lembaga Pelabuhan kita.

“Jadi, kita tahu setiap kapal masuk dan kita tahu berapa jumlah penumpang serta mereka itu dari warganegara mana, dan setiap daripada mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close