TH tutup hotel, berhentikan kakitangan


KUALA LUMPUR- Anak syarikat Lembaga Tabung Haji, TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan empat hotel di bawah rangkaian syarikat tersebut berkuatkuasa 1 April ini.
Menurut notis bertarikh 17 Februari yang ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkefli Ahmad, penutupan operasi hotel yang terletak di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Alor Setar itu adalah disebabkan pengambilan alih hartanah tersebut oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.
“Penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. dan bangunan hotel tersebut telah dipindah daripada Lembaga Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji,” katanya.
Penutupan operasi tersebut juga melibatkan pemberhentian kakitangan yang berlebihan dan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.- MalaysiaGazette