Malaysia

Sekilas fakta kabinet Muhyiddin

Selepas seminggu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin mengumumkan kabinet barunya pada hari ini.

Seberapa besar kabinet? Berapa ramai wanita? Siapa pemimpin besar yang tidak tersenarai?

Malaysiakini membantu anda mendapatkan jawapannya, jadi teruskan membaca.

Adakah kabinet ini lebih besar?

Ya. Kabinet Dr Mahathir Mohamad mempunyai 27 menteri, yang mana Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang dua portfolio. Mahathir pula melantik 26 timbalan menteri.

Kabinet Muhyiddin Yassin memiliki 32 portfolio dan perdana menteri telah melantik 38 timbalan menteri. Tujuh kementerian mempunyai dua timbalan menteri.

Siapa di kalangan kabinet bukan ahli politik?

Kerajaan baru PN telah melantik dua orang bukan ahli politik ke dalam barisan jemaah menteri, bekas CEO Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, 46 dan bekas mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 51.

Mereka akan dilantik sebagai senator.

Tengku Zafrul berpengalaman luas selama 24 tahun dalam bidang industri kewangan, manakala Zulkifli pula dikenal dengan pendekatannya yang sederhana selama menjadi mufti sejak 2014.

Berapa kerusi dapat mengikut parti?

Bersatu menguasai sebahagian besar jawatan kabinet dan timbalan menteri, walaupun berada di tangga kedua dari segi jumlah anggota parlimen penyokong kerajaan.

Bersatu mengawal 34 peratus jawatan dalam kabinet walaupun mempunyai hanya 26 peratus jumlah anggota parlimen.

Umno berada di kedudukan kedua dengan menguasai 28 peratus jawatan kabinet walaupun memiliki 35 peratus MP penyokong kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada di tempat ketiga walaupun dari segi jumlah MP, ia sama dengan PAS.

Kedua-dua PAS dan GPS (gambar, atas) mempunyai 18 MP tetapi gabungan dari Sarawak itu mendapat empat jawatan menteri kabinet manakala PAS mempunyai tiga orang.

Keseluruhannya, Bersatu kini mempunyai 11 menteri, manakala Umno sembilan, empat GPS, PAS tiga, MCA dua, MIC satu dan PBS satu.

Bagi timbalan menteri, Bersatu akan mempunyai 14 orang, diikuti oleh Umno dengan sembilan timbalan menteri, PAS dan GPS pada masing-masing lima, MCA tiga, PBRS satu dan Star satu.

Pemimpin kanan parti manakah tidak dilantik sebagai menteri?

Kedua-dua Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan tidak dilantik ke dalam barisan jemaah menteri kerajaan PN.

Pemimpin Umno paling kanan yang dilantik ke dalam kabinet ialah Noraini Ahmad (menteri pendidikan tinggi).

Beliau ialah ketua Wanita Umno, yang pada tahun lepas selepas pindaan perlembagaan parti telah dinaikkan setaraf dengan kedudukan timbalan presiden Umno.

Hanya satu daripada tiga naib presiden Umno yang dilantik ke dalam kerajaan PN. Ismail Sabri Yaakob (gambar, bawah) kini menjadi menteri pertahanan, manakala Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid tidak tersenarai ke dalam kabinet.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak termasuk dalam kerajaan baru tetapi timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai menteri alam sekitar.

Tidak mengejutkan apabila Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan MB Kelantan Mohd Amar Abdullah tidak dilantik kerana masing-masing sedang mentadbir kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, seorang lagi naib presiden PAS, Idris Ahmad, yang tidak memegang jawatan kepimpinan negeri, tidak dilantik ke dalam kabinet.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap urusan undang-undang dan hal ehwal parlimen, jawatan penting yang boleh mempengaruhi perubahan perundangan.

Presiden MIC S Vigneswaran (gambar, bawah) juga tidak termasuk dalam kabinet. Beliau kini merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara.

imbalannya, M Saravanan telah dilantik sebagai menteri sumber manusia.

Bagi GPS pula, presiden PBB (Abang Johari Openg), PRS (James Masing) dan SUPP (Sim Kui Hian) difahamkan tidak termasuk ke dalam kabinet kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada kabinet Sarawak.

Pengecualian kepada Presiden PDP Tiong King Sing yang dilantik sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Berapa nisbah wanita jadi menteri ahli kabinet, timbalan menteri?

Terdapat lima menteri kabinet wanita dan empat timbalan menteri. Jumlah ini tidak berubah sebagaimana kabinet sebelumnya.

Bagaimanapun, perlu diingatkan Dr Wan Azizah memegang dua jawatan kabinet pada masa itu dan dari segi nisbah sekarang terdapat lebih ramai lagi timbalan menteri.

Berapa banyak kem Azmin Ali dapat jawatan?

Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru kerana beliau merancang sekumpulan ahli parlimen untuk berpaling tadah kepada gabungan baru.

Termasuk Azmin, terdapat 10 MP yang meninggalkan PKR untuk menyertasi Bersatu susulan “Langkah Sheraton.”

Daripada kumpulan bekas anggota parlimen PKR ini, Rashid Hasnon merupakan satu-satunya MP yang tidak menjadi menteri kabinet atau timbalan menteri. Perlu diingatkan Rashid masih lagi timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan kem Azmin adalah seperti berikut:

Menteri:

  1. Azmin Ali
  2. Saifuddin Abdullah
  3. Zuraida Kamaruddin

Timbalan menteri:

  1. Ali Biju
  2. Jonathan Yassin
  3. Kamaruddin Jaffar
  4. Mansor Othman
  5. Santhara Kumar
  6. Willie Mongin

Berapa ramai menteri, timbalannya dari Sabah, Sarawak?

Terdapat empat menteri kabinet dari Sarawak dan dua dari Sabah. Ini menjadikan enam menteri dari Malaysia Timur, naik dari hanya empat ketika kabinet sebelumnya.

Jadi, pada masa ini, 18.75 peratus menteri kabinet berasal dari Malaysia Timur walaupun kira-kira 20 peratus MP yang menyokong Muhyiddin dari sini.

Adakah kementerian bubar? Adakah terdapat kementerian baru?

Paling ketara, tiada lagi jawatan timbalan perdana menteri di dalam kabinet buat masa ini. Walau bagaimanapun, Muhyiddin masih boleh menamakan timbalannya kemudian.

Muhyiddin juga telah menghapuskan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Kementerian Perpaduan Negara yang berdiri sendiri.

Empat kementerian pula sama ada dinamakan semula atau disatukan:

  • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
  • Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perbahan Iklim dan Alam Sekitar
  • Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
  • Kementerian Industri Utama.

Source
Malaysiakini
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close