COVID-19 : Orang ramai perlu maklum perjalanan keluar antara negeri – KPN

KUALA LUMPUR 17 Mac — Orang ramai yang mahu melakukan perjalanan antara negeri (domestik) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, perlu memaklum dan mengisytiharkan perjalanan mereka kepada pihak polis menerusi pengisian borang makluman sebelum dibenar meneruskan perjalanan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata borang berkenaan disediakan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis di seluruh negara sebagai langkah kawalan mengurangkan pergerakan orang ramai serta penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.
“Individu yang mahu meneruskan perjalanan perlu hadir untuk memaklumkan status perjalanan mereka dan menyatakan sebab kukuh meneruskan perjalanan sebelum surat kebenaran dikeluarkan PDRM.
“Mana-mana individu boleh beri tahu pihak kami atau balai terdekat dan kami akan beri mereka dokumen yang menjelaskan bahawa pembawa dokumen ini telah maklumkan (pihak polis dan) dia perlu buat perjalanan atas sebab demikian.
“Ini perlu dan diyakini dapat menyekat penularan jangkitan COVID-19 di mana PDRM bertindak mengawal pergerakan orang ramai dari negeri ke negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.
Abdul Hamid berkata sebanyak 156 IPD dan beratus-ratus balai lagi di seluruh negara akan dibekalkan borang berkenaan dan orang ramai boleh hadir untuk mendapatkannya.
“Dokumen berkenaan bermaksud apa-apa dokumen tunjuk sebab atau sokongan yang menyatakan mereka perlu melakukan perjalanan demikian. Contoh dokumen ahli keluarga mereka sakit dan sebagainya,” katanya.
Abdul Hamid berkata perkara itu bagaimanapun tidak termasuk Sarawak.
“Kecuali bagi sesiapa yang mahu buat pergerakan balik ke Sarawak, mereka perlu dikuarantin 14 hari dan itu terpulang kepada kerajaan negeri. Namun bagi polis untuk keluar, mereka perlu beritahu supaya memudahkan perjalanan,” katanya.
Ditanya mengenai sebarang kuota borang makluman disediakan dalam mengenal pasti jumlah orang ramai yang mahu melakukan perjalanan antara negeri, beliau menjelaskan tiada kuota buat masa ini.
“Ketua Polis Balai akan temu duga dan mendengar alasan (yang boleh) memuaskan pihak polis. Kami akan tengok berdasarkan kes sebelum keluarkan surat bagi melepaskan mereka untuk membuat perjalanan berkenaan,” katanya.
Abdul Hamid bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara berkenaan (maklumkan perjalanan) dengan memberi alasan tidak munasabah semata-mata bagi membolehkan mereka melakukan perjalanan antara negeri.
“Kalau tidak maklum, setakat ini tidak dihukum. Kalau nak bohong, bohong lah tapi ini akan menyusahkan diri dan menyebabkan fasa berikutnya iaitu perintah berkurung,” katanya.
Abdul Hamid juga menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan keluar antara negeri itu akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Ditanya sama ada penerbangan antara negeri dibenarkan atau sebaliknya ketika Perintah Kawalan Pergerakan itu, Abdul Hamid berkata perkara tersebut masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
— BERNAMA