Gangguan bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam

SHAH ALAM: Empat Loji Rawatan Air di Selangor, iaitu Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada jam 7 malam tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som, berkata tindakan itu terpaksa dilakukan ekoran pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.
“Sehingga jam 8 malam, bacaan pencemaran bau masih pada tahap dua ton.
“Berikutan henti-tugas di loji berkenaan, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” katanya menerusi kenyataan malam tadi
Beliau berkata, pihaknya sudah melaporkan insiden pencemaran ini kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.
“Kami juga ingin menasihatkan agar dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat.
“Pengguna juga digalakkan memuat-turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau AppsStore untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.