
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbang pemberian cecair pembasmi kuman serta topeng muka percuma kepada orang awam, seperti yang dilakukan di Thailand bagi membantu menangani penularan wabak COVID-19.
Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perkara itu sudah dibincangkan, tetapi bukan saya yang akan memberi keputusan. Ia terserah kepada MKN. Kerajaan memang prihatin terhadap rakyat,” katanya selepas tinjauan bekalan makanan asas di sekitar Putrajaya, hari ini.
Mengenai rungutan orang ramai terhadap kekurangan stok cecair pembasmi kuman serta topeng muka, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menambah jumlah produk berkenaan.
“Kita tahu (ada rungutan mengenai kekurangan topeng muka) dan jawatankuasa juga sudah ditubuhkan diketuai Menteri Kanan untuk mencari jalan bagi menampung kekurangan ini.
“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak topeng berkenaan dari negara luar. Selain topeng, kita juga akan membawa masuk cecair pembasmi kuman serta peralatan perlindungan diri (PPE).
“Ramai juga pengimport menyatakan kesediaan membawa masuk produk berkenaan, jadi diharap usaha ini akan meredakan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan,” katanya.
Berhubung tinjauannya ke beberapa buah pasar raya, Alexander berkata pihaknya berpuas hati dengan jumlah stok bahan makanan semua premis terbabit.
“Kehadiran kami untuk memantau keadaan sebenar keperluan bekalan asas di kawasan ini. Setakat ini saya berpuas hati kerana selain bekalan makanan asas mencukupi, kita lihat mereka juga tidak menaikkan harga barang.
“Bagaimanapun, kita dapat laporan ada kekurangan bekalan makanan asas di kawasan lain disebabkan berlakunya pembelian panik oleh orang ramai. Namun, ia tidak sampai ke tahap membimbangkan,” katanya.