Covid-19KESIHATANMalaysiaSetempat

PKP :Polis Selangor akan tambah penutupan secara berperingkat.

SHAH ALAM, 30 Mac — Polis Selangor akan menambah penutupan jalan di beberapa kawasan di negeri itu secara berperingkat, bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, buat masa ini empat hingga lima jalan di Kota Damansara dan Petaling Jaya ditutup sejak beberapa hari lepas, dan penutupan sebahagian lagi laluan di kawasan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Katanya walaupun langkah itu dilihat akan menyusahkan masyarakat di kawasan terlibat, namun ia bagi memastikan kawalan pergerakan, dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita ada terlalu banyak jalan, nak tutup semua memang kita tak boleh buat. Jadi kita tutup sebahagian saja yang mana menerusi laluan itu, polis boleh buat tapisan dan kawal pergerakan mereka.

“Memang PKP membenarkan orang awam keluar membeli barangan keperluan, namun ia tidak harus disalah gunakan. Misalnya, jika tinggal di Kota Damansara, beli sahaja keperluan asas di situ, tidak perlu bagi alasan nak beli barang di Kepong,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai PKP di Selangor Arjunaidi berkata, sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam, sebanyak 364 tangkapan dilakukan kerana mengingkari perintah kawalan itu, dan daripada jumlah itu, 114 adalah warga asing.

“Setakat ini, lapan daripada yang ditahan telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan, dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, seorang lelaki ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya di tol PJS 2, Lebuh Raya Baru Pantai, dekat sini, kira-kira 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya  ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan polis menemui lima paket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis ketamin kira-kira 5.1 gram, dan wang tunai RM 19,082.00.

“Ujian saringan urin mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

Source
Bernama
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close