Covid-19MalaysiaSetempat

COVID-19: Lebih ramai rakyat Malaysia dijangka pulang minggu hadapan

Pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat berjalan kaki di Tambak Johor dan meninggalkan Singapura selepas kerajaan republik itu menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan sejak kelmarin. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka akan pulang ke negara ini menjelang minggu depan susulan langkah republik itu melaksanakan langkah lebih ketat selama sebulan bagi membendung penularan COVID-19.

Shahran Ariff, 52, bekerja sebagai penyelia chef di sebuah restoran Perancis di Tanjung Pagar, Singapura, berkata ia berikutan beberapa syarikat terpaksa ditutup manakala rakyat negara ini yang sebelum ini diberi tempat tinggal sementara termasuk makan minum, juga perlu meninggalkan republik berkenaan.

Beliau berkata, ramai pekerja terjejas diarahkan bercuti sementara namun mereka bimbang nasib mereka selepas arahan penutupan itu berakhir sama ada akan dipanggil bekerja semula atau tidak.

“Ramai pekerja Malaysia terjejas dijangka akan pulang semula ke negara ini menjelang minggu depan dengan kebanyakan mereka bekerja di syarikat yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan ketat bermula Selasa lalu.

“Sebelum ini kebanyakan majikan menyediakan tempat tinggal sementara di hotel sejak 18 Mac lalu apabila Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun apabila arahan lebih ketat turut dilaksanakan Singapura, ada syarikat yang perlu menutup operasi sementara dan pekerja Malaysia tiada pilihan selain pulang dahulu kerana diberi cuti.

“Namun ramai juga pekerja Malaysia yang akan terus kekal di republik itu terutama yang bekerja di industri perkilangan dan pembuatan, pelabuhan, perkapalan, makanan, pengangkutan dan logistik selain pembersihan dengan majikan mereka terus menyediakan tempat tinggal sementara serta makan minum ditanggung,” katanya ketika dihubungi.

NSTP semalam melaporkan, beberapa hospital dan klinik di Singapura mulai sesak berikutan rakyat Malaysia yang mahu pulang ke negara ini perlu melakukan ujian kesihatan termasuk ujian calitan (swab test) seperti disyaratkan kerajaan sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Kegagalan mereka melakukan ujian kesihatan termasuk mengemukakan keputusan ujian calitan menyebabkan mereka akan dihantar terus ke pusat kuarantin bagi dikuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, Sofia Safie, 35, rakyat Malaysia yang bekerja di sebuah rangkaian pakaian antarabangsa di Singapura berkata,beliau akan kekal di republik itu berikutan majikannya memintanya terus bekerja.

“Alhamdulilah, majikan masih terus menyediakan tempat tinggal selain menanggung makan minum rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat berkenaan sejak 18 Mac lalu.

“Walaupun bersyukur kerana khidmat masih diperlukan namun hati rasa sayu kerana sudah meninggalkan dua anak sejak 18 Mac lalu dan tidak akan berjumpa sehingga sekatan sebulan berakhir 7 Mei nanti.

“Inilah kali pertama saya tidak dapat menyambut Ramadan bersama keluarga namun demi rezeki keluarga,saya gagahkan,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close