
PUTRAJAYA: Pemilik dan pengurusan syarikat dalam sektor tambahan yang boleh beroperasi semula secara berperingkat-peringkat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu, boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok.
Makluman melalui laman sosial Facebook Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pagi ini memaklumkan, permohonan itu adalah secara digital sepenuhnya dan perlu dibuat pada laman sesawang kementerian di www.miti.gov.my.
Berdasarkan kepada hantaran itu, pemilik dan pengurusan syarikat tidak perlu memuat naik sebarang dokumen, namun mereka disarankan untuk menyediakan maklumat berkaitan syarikat terlebih dahulu, terutamanya maklumat pekerja.
Maklumat berkenaan termasuklah pendaftaran syarikat termasuk nombor Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor lesen keutamaan dan nombor lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); alamat surat menyurat dan operasi syarikat; anggaran pendapatan syarikat untuk 2017, 2018 dan 2019.
Mereka juga perlu menyatakan bilangan pekerja tetap syarikat, maklumat setiap pekerja termasuk nama, kad pengenalan, nombor telefon atau maklumat pengenalan lain serta sifat atau skop kerja di syarikat masing-masing.
Pemilik dan pengurusan syarikat juga diingatkan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh beroperasi semula.

Jumaat lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan, berkata pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi itu wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, selain pematuhan terhadap syarat dan garis panduan yang diperketatkan, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan, dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Sektor yang tersenarai adalah industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan), industri mesin dan peralatan,industri aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) (hanya terhad kepada perkhidmatan berkaitan guaman, perkhidmatan berkaitan minyak dan gas, aktiviti-aktviti R&D berkaitan COVID19 serta makmal ujian bagi sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja).
Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) berdaftar); perkhidmatan kedai perkakasan (hardware), kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai
cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan; perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja) dan perkhidmatan dobi (bukan layan diri).