Apa itu Kebiasaan Baharu atau New Normal?

Ketika pertama kali saya mendengarnya, saya menganggap Kebiasaan Baharu ini sesuatu yang akan difikirkan nanti dan masih ada masa lagi sebelum amalan-amalan baharu ini menjadi sebahagian daripada rutin baharu hidup saya.
Namun, apabila difikirkan semula ketika saya mengambil barangan asas yang dikirim Lazada, semuanya sudah berbeza.
Saya sudah tidak bersua muka dengan penghantar barangan yang dibeli saya. Sejurus saya naik ke rumah, perkara pertama saya buat adalah terus ke bilik air untuk membasuh tangan sebelum saya menyentuh mana-mana bahagian dalam rumah saya.
Di sini, saya sedari bahawa inilah ‘Kebiasaan Baharu’ yang dicanangkan.
Walaubagaimanapun, ‘Kebiasaan Baharu’ bukanlah setakat itu sahaja. Saya sudah tidak bertemu mana-mana ahli keluarga saya selama lebih sebulan. Isteri saya langsung tidak keluar dari rumah. Kebanyakan masa diluangkan makan di rumah. Tiada lagi sesi makan di luar.
Selepas hampir sebulan PKP dilaksanakan, semua yang saya utarakan ini telah menjadi rutin harian.
Namun, saya tidak sedar kerana tumpuan sentiasa terarah kepada bila PKP akan tamat.
Saya berpesan kepada diri dan semua yang meluangkan masa untuk membaca artikel ini.
Sedarlah. Covid-19 sudah mengubah hidup kita. Tiada lagi perjumpaan sosial. Tiada lagi sesi lepak di kedai makan. Tiada lagi bertandang ke kenduri kahwin pada hujung minggu.
Ini realiti yang perlu kita terima jika pada suatu masa nanti kita ingin lakukan ini semula.
Saya bercakap sebagai seorang yang hanya bekerja makan gaji. Namun, cuba bayangkan apa yang perlu berubah bagi mereka yang bekerja sendiri? Atau perniagaan kecil? Atau perniagaan yang memerlukan kehadiran ramai orang seperti perunding perkahwinan?
Ini semua perlu difikirkan. Jangan berlengah lagi. Jika kita ingin mengatasi cabaran ini, ‘Kebiasaan Baharu’ ini perlu menjadi realiti kita pada hari ini.