
TAIPING: Lebih 20 kilogram dadah jenis heroin dengan anggaran nilai RM264,000 dirampas susulan penahanan dua lelaki di sekatan jalan raya sewaktu penugasan Ops COVID-19 di Jalan Kuala Kangsar-Taiping, di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Datuk Goh Boon Keng, berkata, kedua-dua suspek dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan ketika masing-masing sedang memandu dua kereta secara berasingan kira-kira jam 6.30 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas sebuah dari kereta berkenaan menjumpai heroin dengan anggaran berat kasar 20,020 gram sebelum ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Taiping.
Katanya, penahanan kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki yang juga berusia 20-an dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Sri Kota, di sini, pada keesokan harinya bagi membantu siasatan.
Boon Keng berkata, bagaimanapun ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang masing-masing merupakan pemandu lori, penganggur, dan peniaga, negatif.
“Kita masih menyiasat sama ada kedua-dua lelaki berkenaan turut terbabit dengan satu sindiket atau hanya sekadar menerima upah bagi menghantar dadah berkenaan.
“Dua suspek yang pertama direman selama tujuh hari bermula 11 April lalu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.
“Selain itu dua suspek itu juga disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.
Katanya lagi, polis turut menyita dua kereta yang dipandu kedua-dua suspek pertama selain seutas rantai emas beserta loket, dan sebentuk cincin emas dengan nilai keseluruhan RM89,900.
Dalam pada itu, Boon Keng berkata, sebanyak 205 tangkapan individu berkaitan kes dadah dibuat JSJN Perak melalui sekatan jalan raya dan rondaan sepanjang Ops COVID-19 sempena penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.
Katanya, dari jumlah itu seramai 28 individu ditangkap atas kesalahan membekalkan dadah, manakala 161 individu ditahan kerana memiliki bahan terlarang itu selain 16 individu lain ditangkap selepas didapati positif ujian air kencing.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah oleh JSJN Perak sepanjang tenpoh PKP adalah RM 353,001.40 yang merangkumi syabu sebagai dadah sintetik terbanyak iaitu membabitkan jumlah RM51,831 atau bersamaan 345.54 gram.
“Manakala bagi dadah tradisional, heroin berada di tangga pertama dengan rampasan 20,271.24 gram atau bersamaan RM270,283.20,” katanya.