
PUTRAJAYA, 15 April — Cadangan operasi e-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu dan ‘pick-up’ akan diperhalusi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pada masa ini kabinet bersetuju membenarkan kaedah pesanan dalam talian dan penggunaan perkhidmatan e-hailing untuk penghantaran.
“Kabinet minta perkara ini terus diperhalusi, kerana kebimbangan kita adalah dari segi jumlah kenderaan terlibat apabila konsep pandu lalu dan sebagainya diperkenalkan, saya percaya ramai akan keluar serentak dan akhirnya menyebabkan jumlah yang ramai.
“Jika mereka dibenarkan keluar walaupun pandu lalu atau ambil produk dipesan, akan ada lebih banyak alasan yang diberikan kepada pihak polis, khususnya mereka yang agak sukar mematuhi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan PKP.
— BERNAMA