
SEREMBAN, 20 April — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membantu 1,120 petani memasarkan hasil produk mereka sekali gus mengatasi lambakan hasil pertanian sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata hasil produk petani itu dipasarkan melalui 45 outlet Pasar Segar Terkawal (PST); 321 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR); dan 115 Agrobazaar Rakyat (ABR) di seluruh negara dengan nilai belian sebanyak RM6.85 juta.
Beliau berkata sejumlah 1,420 usahawan di bawah seliaan Fama pula terlibat dalam memastikan bekalan makanan sampai kepada 0.6 juta pengguna melibatkan 38,091 kaedah perkhidmatan secara penghantaran.
“Isu lambakan hasil pertanian yang berlaku bagi kes-kes lalu hanyalah kes terpencil dan kita sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu semua petani agar nasib mereka terbela.
“Kami juga mahu pastikan rantaian bekalan makanan tidak terputus sebaliknya ia kekal berterusan untuk pastikan barangan sampai kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Fama di sini hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh 1 April sehingga semalam, PST merekodkan nilai jualan sebanyak RM22.9 juta manakala AKR dan ABR merekodkan nilai jualan sebanyak RM43 juta.
Ahmad berkata Fama juga dalam usaha untuk meningkatkan pengedaran pengeluaran makanan secara lebih berkesan sepanjang tempoh PKP ini dan memperkemaskan konsep jualan dalam talian dan luar talian melalui ‘Agrobazaar online’ dan rangkaian outlet yang terpilih.
“Para petani pula seharusnya menggunakan Pusat Operasi Fama yang terdapat di seluruh negara untuk mereka berhubung dan menyalurkan sebarang permasalahan berkaitan pemasaran hasil produk mereka,” katanya.
— BERNAMA