InfoKESIHATANMalaysia

Terima kasih wira lebuh raya

BIARPUN berdepan cabaran baharu kemungkinan jangkitan Covid-19, namun pasukan PLUSRonda tetap bersedia memberikan khidmat bantuan kepada pengguna lebuh raya yang terpaksa melakukan perjalanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rutin harian pasukan PLUSRonda masih seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga dari aspek kesihatan dan keselamatan serta prosedur baharu termasuk mengamalkan penjarakan sosial diberi keutamaan ketika menjalankan tugas.

Mengimbau penubuhan pasukan ini sejak diperkenalkan ke sistem lebuhraya PLUS pada 1 April 1990, pasukan rondaan dan bantuan lebuh raya terdiri daripada 574 anggota ini terus sinonim dengan perkhidmatan lebuh raya.

Sepanjang tahun lalu saja, pasukan PLUSRonda memberikan bantuan kepada hampir 223,000 insiden kenderaan rosak, kes kemalangan, mengalihkan objek terjatuh dan haiwan ternakan berkeliaran di lebuh raya.

Tidak hanya setakat itu, terdapat juga beberapa insiden PLUSRonda yang memiliki kuasa polis bantuan menghulurkan bantuan melangkaui bidang tugas termasuk berjaya menghalang beberapa cubaan membunuh diri di Jambatan Pulau Pinang serta membantu seorang ibu melahirkan bayi di lebuh raya.

Pengguna lebuh raya, Nasrul Shah Rizan menzahirkan penghargaan kepada anggota PLUSRonda serta seorang lagi lelaki berbangsa India yang turut sama menghulurkan bantuan ketika isterinya bersalin.

“Memang saya dan isteri pada ketika itu dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh selepas isteri mengadu sakit.

“Ketika melalui Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) kira-kira jam 12 tengahari, keadaan semakin cemas dan kebetulan pula kami melihat sepasukan PLUSRonda sedang memberikan bantuan kepada sebuah lori yang rosak di lorong kecemasan di Kilometer 21 sebelum mendapatkan bantuan mereka.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada anggota PLUSRonda, Yusuf dan Mohd Al-Amar yang menyambut kelahiran bayi perempuan kami sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya mengimbau detik istimewa yang berlaku pada 22 Januari lalu.

Selain itu, tahun lalu PLUS dan Propel turut memperkenalkan pasukan ‘Kenderaan Keselamatan’ untuk mewujudkan zon selamat sementara bagi petugas mengalihkan objek asing di lebuh raya seperti serpihan tayar, kayu, besi dan sebagainya ke arah memastikan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal.

Ia selepas mengambil kira beberapa insiden anggota PLUSRonda terkorban ketika menjalankan tugas mereka di lebuh raya akibat dirempuh kenderaan lain ketika turun memberikan bantuan.

Ini termasuk peristiwa anggota PLUSRonda, Aziz Siraj yang maut dirempuh sebuah lori ketika mengalihkan serpihan tayar di lebuh raya, 19 Februari tahun lalu.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close