Malaysia boleh memainkan peranan di Asia Barat

KUALA LUMPUR: Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara rantau itu terus utuh.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pertemuan dengan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS hari ini, turut membincangkan tanggungjawab mereka untuk memperkasa peranan Malaysia di Asia Barat dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu.
“Ketika ini tumpuan Wisma Putra menjadi pemudah cara urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan dan penutupan ruang udara oleh kerajaan di negara yang mereka diami.
“Selain itu, Wisma Putra juga perlu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengenal pasti negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik, seterusnya memastikan Malaysia menjadi negara terawal memperoleh vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, pihaknya yakin pengalaman dan pengaruh dimiliki Abdul Hadi berupaya membantu Wisma Putra menjayakan pelbagai lagi agenda khususnya berkaitan Asia Barat.
“Ini termasuk membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana terus utuh dan berkekalan.
“Tahniah atas pelantikan beliau dan marilah sama-sama kita doakan semoga urusan Tuan Guru Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat dipermudahkan dan diberkati Allah SWT,” katanya.