JenayahMalaysiaPolitic

Penghantaran pulang pelarian Rohingya perlu disegerakan

MALAYSIA yang prihatin terhadap nasib etnik Rohingya, percaya bahawa penghantaran pulang pelarian itu harus segera bermula untuk menyelesaikan krisis terbabit.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Myanmar bagaimanapun tidak dapat melakukan perkara itu kerana keengganan pelarian untuk mengambil bahagian dalam proses terbabit.

“Kunci untuk menyelesaikan isu ini adalah untuk memastikan mereka kembali secara sukarela, selamat dan secara bermaruah,” katanya dalam ucapannya pada Mesyuarat Persediaan Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan, hari ini.

Saifuddin berkata, masyarakat Rohingya juga perlu diajak berunding mengenai kemungkinan mereka untuk kembali dan menjamin keselamatan mereka apabila kembali ke Rakhine.

“Jika tidak, bagaimana mungkin mereka akan kembali ketika bimbang mengenai keselamatan apabila kembali,” kata Saifuddin, yang mengulangi pendirian Malaysia bahawa pelaku jenayah yang dilakukan pada masa lalu juga harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Saifuddin berkata, beliau berharap Myanmar, sebagai rakan Malaysia dan anggota NAM seta rakan rapat dalam ASEAN, akan menghormati dan mematuhi Deklarasi Bandung selain undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, juga hak asasi manusia.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang masuk ke Bangladesh selepas pasukan tentera Myanmar melancarkan gerakan terhadap masyarakat minoriti Islam itu pada Ogos 2017.

Jumlah pelarian yang berlindung di Bangladesh melebihi 1.2 juta orang.

Bangladesh dan Myanmar pada Ogos menandatangani perjanjian untuk memudahkan penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam tempoh dua tahun akan datang, tetapi dua program penghantaran pulang yang dirancang berhenti selepas pelarian tidak mahu kembali ke Myanmar, memberi alasan mengenai isu keselamatan di Rakhine.

Malaysia menjadi salah satu negara utama yang memperjuangkan hak pelarian Rohingya.

Selain memberi bantuan kemanusiaan, Malaysia mengendalikan sebuah hospital lapangan di Cox’s Bazar, selain memberi perlindungan kepada hampir 100,000 pelarian Rohingya yang berdaftar, dengan banyak lagi yang tidak didaftarkan.

Semasa acara peringkat tinggi mengenai “Rohingya Crisis – A Way Forward” di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bulan lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya komuniti antarabangsa meletakkan krisis Rohingya dalam perhatiannya secara sama rata dengan tujuan untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close