
Gambar hiasan
TOKYO: Ujian di pusat jagaan di sini selepas seorang petugas disahkan positif bagi COVID-19 mendapati lapan bayi dan kanak- kanak turut dijangkiti coronavirus itu.
Hospital Tokyo Saiseikai Central, yang mengendalikan pusat itu, berkata kesemua kanak-kanak yang dijangkiti kini sudah dimasukkan ke hospital, manakala 21 lagi disahkan negatif dan berada di bawah pengawasan.
Jurucakap fasiliti itu berkata ia adalah pusat penjagaan bagi kanak-kanak yatim piatu atau terpisah daripada ibu bapa kerana didera atau diabaikan.
“Pada 16 April lalu, salah seorang petugas pusat ini disahkan positif COVID-19, menyebabkan ujian saringan dilakukan ke atas semua kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Ujian turut dijalankan ke atas 47 kakitangan lain yang kini melakukan kuarantin kendiri di rumah.
Bagaimanapun, kanak-kanak yang dijangkiti tidak mengalami gejala demam panas.
Setakat ini, Jepun berjaya menghalang penyebaran meluas akibat COVID-19, namun terdapat jangkitan di hospital dan beberapa kemudahan perubatan. – AFP