
KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan enkuiri polis (KEP) berhubung laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan sehingga kini dua laporan polis diterima mengenainya dan siasatan awal sedang dijalankan.
“Kita sudah rakam keterangan pengadu, manakala keterangan pihak lain akan diambil selepas mendapat arahan lanjut Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu tular di media sosial satu gambar salinan laporan polis dibuat seorang individu terhadap Dr Zulkifli atas dakwaan melanggar PKP ketika mengadakan penyampaian surat pelantikan JAKIM kepada seorang pegawainya serta menghadiri dua mesyuarat dengan beberapa individu di pejabatnya.
Laporan dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada 3 Mei lalu turut mendakwa Dr Zulkifli melakukkan kesalahan sama ketika mengadakan penyampaian bantuan masyarakat orang asli di Terengganu dengan turut mengadakan kenduri bersama pegawainya.
Gambar salinan laporan polis dimuat naik di sebuah laman Facebook menggunakan nama Azmi Arshad pada 5 Mei lalu, bagaimanapun nama serta butiran lain pengadu dipadamkan.