Saman lucut hak 1MDB: Mahkamah benarkan k’jaan rampas RM600,000 dari Riza

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicapai dalam kes pengubahan wang haram Riza Aziz, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran untuk kerajaan melucut hak kira-kira RM600,000 daripada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan kerajaan menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang yang sebelum ini dirampas di rumah Riza, ibunya Rosmah Mansor, dan Najib.
Keputusan hari ini berkaitan saman pelucutkahakan 1MDB bernilai RM31 juta terhadap Riza dan 17 lagi defendan. Antara defendan lain adalah Najib dan Rosmah.
Keputusan itu membenarkan kerajaan melucut hak RM537,000, Pound Sterling 2,700 dan Rupee Sri Lanka 2,870,000 yang dirampas dalam serbuan pada 17 Mei 2018.
Ketika prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu Zaini bahawa susulan penyelesaian melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) yang dicapai minggu lalu, Riza setuju untuk kerajaan melucut wang yang dikaitkan dengannya di Malaysia dan Amerika Syarikat.
Peguam Syahirah Hanapiah dan Azrul Zulkifli Stork, yang masing-masing mewakili Najib serta Rosmah dan Riza, mengesahkan mereka tidak membantah keputusan itu.
Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata persetujuan itu dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram.
Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)