KESIHATANMalaysia

Mangsa keracunan puding buih meningkat kepada 99 orang

KUALA TERENGGANU, 27 Mei — Seramai 25 lagi mangsa dilapor mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada puding buih, setakat 12 tengah hari tadi, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata pertambahan mangsa baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang mengalami keracunan di dua daerah di Terengganu terus meningkat kepada 99 orang.

Beliau berkata daripada 99 kes tersebut, yang membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari daerah Marang.

“Daripada 99 pesakit itu, seramai 35 pesakit telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU), 10 pesakit dimasukkan ke hospital swasta dan 23 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata baki 31 lagi pesakit adalah dalam kalangan ahli keluarga masing-masing, yang turut dikesan mengalami simptom keracunan, namun tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Semalam, media melaporkan seramai 74 individu mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lepas.

Kebanyakan mangsa mengalami simptom yang sama iaitu cirit-birit, muntah dan demam.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata seramai 12 pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah hari ini menjadikan jumlah pesakit yang masih dirawat di HSNZ ialah 24 orang manakala sembilan pesakit lagi masih dirawat di hospital swasta.

“Semua pesakit yang masih dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, pesakit yang dirawat di ICU kini dilaporkan tenat,” katanya.

Source
Bernama
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close