
Sebuah restoran di Jalan Kampung Paya Raja Uda, Butterworth diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP PKPB. – fotoBERNAMA
BUTTERWORTH: Sebuah restoran di Jalan Kampung Paya, Raja Uda di sini diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya bersama agensi lain menjalankan pemeriksaan pada 6 petang tadi kerana hasil risikan dan intipan mendapati restoran itu, yang turut menawarkan minuman arak, dipenuhi pelanggan serta tidak mematuhi jarak sosial yang ditetapkan.
“Dalam pemeriksaan itu, terdapat lebih 150 pelanggan yang sedang minum sedangkan sepatutnya premis itu hanya boleh menerima pengunjung tidak lebih 100 orang sahaja. Malah ada pengunjung yang duduk empat orang satu meja sedang minum minuman keras.
“Selain itu, restoran itu turut meletakkan meja serta kerusi di luar premis sedangkan mengikut syarat PKPB, ia tidak boleh berbuat demikian,” katanya selepas Ops COVID-19 di restoran itu hari ini.
Selain polis, operasi itu disertai penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
KKM mengeluarkan notis bagi menutup restoran itu selama tujuh hari bagi memastikan pemiliknya mematuhi SOP PKPB sebelum membuka semula premis.
Restoran itu turut dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar PKPB.
Polis menahan tiga lelaki warga Myanmar yang bekerja di restoran itu kerana tiada sebarang dokumen perjalanan diri. Turut ditahan ialah pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBSP, Suliyana Abu Hassan, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati restoran itu beroperasi tanpa lesen selepas dokumen itu tamat tempoh sejak Disember tahun lalu.
“Selain kompaun kerana tiada lesen perniagaan, pihak MBSP mengeluarkan dua lagi kompaun iaitu papan iklan tiada lesen dan meletakkan meja serta kerusi di luar premis tanpa kebenaran. Kami turut menyita semua meja dan kerusi yang menjadi halangan di kaki lima premis itu,” katanya. – BERNAMA