Covid-19KESIHATANMalaysia

Kebenaran suami teman isteri ketika bersalin, bergantung pada hospital – Dr Noor Hisham

Noor Hisham Abdullah menjelaskan, hospital boleh mempertimbangkan untuk membenarkan suami menemani isteri di dewan bersalin sekiranya ruang di hospital mencukupi. – Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA: Pemberian kebenaran kepada suami untuk menemani isteri ketika bersalin adalah bergantung kepada dasar dan ruang sesebuah hospital, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, hospital akan mempertimbangkan selepas mengambil kira aspek berkenaan sama ada untuk memberi kebenaran atau sebaliknya.

“Isu sama ada suami boleh mengiringi isteri ketika bersalin adalah bergantung pada dasar hospital dan mengambil kira ruang di tempat berkenaan selepas melihat pada SOP,” katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Pun begitu, Noor Hisham berkata, hospital berkenaan boleh mempertimbangkan sekiranya ruang di hospital mencukupi.

Sebelum ini, ekoran penularan COVID-19, hospital kerajaan tidak membenarkan suami menemani isteri di dalam dewan bersalin.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu seorang individu yang dikesan positif COVID-19 di depoh tahanan imigresen (DTI) di Bukit Jalil adalah kakitangan berpangkat pegawai imigresen bantuan.

Katanya, kakitangan itu disahkan positif ketika ujian saringan pengesahan COVID-19 dilakukan di depoh berkenaan.

“Kakitangan yang tidak mempunyai sebarang gejala itu barangkali terdedah kepada orang kena tahan (OKT) yang sebelum ini dijangkitan virus itu.

“Kita telah mengasingkan kakitangan itu dan melakukan pengesanan kontak termasuk ahli keluarga,” katanya.


Source
Astro Awani
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close