#kitajagakitaCovid-19World

COVID-19: Pengebumian ikut tradisi Islam tidak dapat dilakukan

CAPE TOWN: Seperti orang lslam di seluruh dunia, Esa Alexander di Afrika Selatan tidak dapat mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah bapa mentuanya yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 minggu lalu di rumah.

“Kami hanya dapat menatap jenazah tetapi tidak dapat menyentuhnya berikutan tubuh arwah sudah dibaluti plastik,” kata Alexander, 52, seorang jurugambar di pinggir kota Cape Town, Afrika Selatan.

Wilayah barat Cape Town itu mencatatkan lebih 65 peratus daripada 52,991 jumlah kes COVID-19 di Afrika Selatan dan lebih tiga perempat daripadanya adalah kematian, iaitu sebanyak 1,162.

Risiko dijangkiti penyakit itu menghalang masyarakat Muslim di bandar itu untuk mengebumikan jenazah mengikut tradisi Islam.

Alexander berkata, dia sekeluarga sedih mengenangkan bapa mentuanya yang berusia 79 tahun itu menghabiskan sisa hidup terakhirnya sendirian di hospital.

“Kami tidak dapat mengucup dahinya. Malah, tiada orang di sana memegang tangannya dan mendengar amanat terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Seorang pekerja yang menguruskan pengebumian, Ebriham Solomon, berkata jenazah dibaluti dengan banyak lapisan plastik, yang dirasakan mengganggu anggota keluarga mendekati jenazah.

Saudara mara perlu memakai pelitup muka, sarung tangan dan apron untuk menurunkan jenayah ke dalam kuburnya.

Kebanyakan anggota keluarga tidak dapat berada di samping orang tersayangnya sepanjang mereka mengharungi sisa hidup terakhirnya.

“Saya menguruskan pengebumian … jenazah seorang bapa yang dimasukkan ke hospital selama lapan minggu sebelum meninggal dunia.

“Satu-satunya cara mereka kekal berhubung adalah melalui telefon atau panggilan video. Ketika dia meninggal, tiada orang di sisi atau sempat mengucapkan selamat tinggal kerana dia bersendirian di hospital,” katanya.

Solomon mengakui dia tidak sampai hati menuntut bayaran pengebumian untuk peralatan pelindung diri (PPE) yang mahal kerana tidak mahu membebankan keluarga dengan bayaran tambahan, berikutan kos pengebumian biasa sudah sedia mahal.

Penduduk Cape Town, Farhan Richards, mendapati pengebumian datuknya pada Selasa lalu, sangat ‘berbeza dan sukar’.

“Tiada pencucian yang dilakukan pada jenazah benar-benar menyedihkan dan dalam agama Islam, itu salah satu upacara terakhir perlu kita lakukan,” katanya.

Wanita berusia 27 tahun mengakui terkilan tidak dapat menatap jenazah datuknya buat kali terakhir sebelum dikebumikan, kerana upacara itu disempurnakan pekerja syarikat pengebumian berbanding dilakukan sendiri anggota keluarga, sesuatu yang menyedihkan.

“Tiada kalangan keluarga dibenarkan mendekati jenazah. Bila mereka selesai meletakkan jenazah, mereka membuang PPE dipakai dalam liang lahad, tindakan yang benar-benar menghina jenazah,” katanya. – AFP

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close