InfoMalaysia

Akses lebih luas TV Pendidikan wajar dikembalikan

Pembelajaran dari rumah ialah kelaziman baharu akibat COVID-19. Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sesi persekolahan tergendala.

Namun, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu diteruskan. Kualiti pendidikan tidak boleh dikompromi atau dikurangkan nilainya dalam apa keadaan sekalipun.

Sesi persekolahan peringkat pertama membabitkan kira-kira 500,000 pelajar sudah bermula Rabu lalu, iaitu bagi yang akan menduduki peperiksaan.

Walaupun COVID-19 terkawal di negara ini, pihak berkuasa sangat berhati-hati dan melonggarkan PKP secara berperingkat. Jika prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi, dibimbangi akan menimbulkan gelombang kedua.

Oleh itu, perhatian utama ditujukan kepada pelajar kerana mereka mudah terdedah dengan sentuhan. Ia boleh berlaku ketika menaiki bas atau ketika di kelas, kantin, padang permainan, tempat perhimpunan dan surau.

Berasaskan situasi itu, persekolahan ditangguhkan kepada pelajar yang tidak mengambil peperiksaan. Pengurusan sekolah mengambil langkah awal bagi mematuhi SOP disediakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Antaranya memastikan penjarakan antara pelajar dipatuhi, manakala alat perakam haba dan cecair ‘sanitizer’ digunakan. Oleh itu, kehadiran pelajar dihadkan agar dapat diselia dan dikawal.

Sungguhpun sesi persekolahan ditangguhkan, KPM, pengurusan sekolah dan guru mengambil langkah proaktif meneruskan PdP secara dalam talian. Belajar dari rumah menjadi kelaziman baharu agar pelajar tidak ketinggalan. Biasanya pelajar bersemuka dengan guru di kelas, kali ini mereka berhadapan perkakasan teknologi maklumat dan komputer (ICT) melalui pelbagai jenis aplikasi.

Pembelajaran secara dalam talian tidak sama keberkesanan dibandingkan kaedah berinteraksi dengan guru di kelas. Pelajar lebih terkesan jika mempunyai kontak langsung dan berkomunikasi dua hala dengan pengajar. Keadaan kelas kondusif di samping rakan sebaya akan menimbulkan suasana pembelajaran sebenarnya.

Apakan daya, ia perlu diteruskan walaupun dari rumah. Syabas dan tahniah kepada guru melaksanakan inisiatif itu.

Namun, kaedah dalam talian mempunyai kekurangan. Tidak semua pelajar ada komputer riba atau telefon pintar sendiri. Jika ada, ia milik ibu bapa yang kadang kala terpaksa pula dikongsi bersama anggota keluarga lain.

Ada juga di sesetengah tempat terutama kawasan pedalaman tiada kemudahan WiFi atau resepsi kurang jelas. Penggunaan kaedah dalam talian terlalu lama juga boleh menimbulkan rasa bosan kepada pelajar.

Sebagai media sokongan, TV Pendidikan perlu dikembalikan. Dahulu ia berupaya membantu pelajar di rumah atau sekolah.

Penggunaannya berkesan kerana hampir setiap rumah dan sekolah memiliki televisyen. Siarannya boleh diterima jelas di seluruh negara. Umumnya, ia lebih mudah dan santai walaupun penyampaiannya berbentuk sehala.

Peringkat awal, TV Pendidikan dikendalikan sepenuhnya Bahagian Teknologi Pendidikan KPM yang meliputi hampir semua mata pelajaran dan disiarkan setiap hari. Di sesetengah sekolah, ia dapat digunakan secara berkesan termasuk ketika ketiadaan guru.

TV Pendidikan dilancarkan pada 1972, sebelum diperluas ke Sabah dan Sarawak pada 1976. Mulai 1992, ia dikendalikan RTM dan kemudian ASTRO pada 2000 hingga 2006. Selepas itu, pada 2007 hingga 2009 siaran ke udara melalui RTM. Akhirnya TV Pendidikan dikendalikan EduWebTV di bawah seliaan KPM.

Mulai April 2020, TV Pendidikan dengan beberapa bentuk pembaharuan mula bersiaran kembali melalui TV Okey, iaitu saluran televisyen milik RTM.

Difahamkan ketika arahan PKP, TV Pendidikan menambah siarannya tetapi lebih menumpukan program kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan pada tahun ini. Melalui kerjasama KPM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia maka siarannya boleh ditonton jelas di seluruh negara. Program TV Pendidikan juga boleh diikuti melalui internet dengan melayari www.KPM.my atau menonton melalui portal KPM.

Usaha KPM menggunakan pelbagai kaedah dan medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar perlu mendapat sokongan dan pujian. Walaupun negara menghadapi suasana luar biasa akibat COVID-19, kualiti pendidikan terus dipelihara.

Semoga pelajar mendapat banyak faedah menguasai ilmu pengetahuan. Didoakan pelajar akan dapat mengikuti sesi persekolahan seperti biasa tidak lama lagi.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close