
Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid sekitar Makkah untuk kali pertama, semalam, sejak perintah berkurung akibat pandemik COVID-19 ditarik balik sepenuhnya di Arab Saudi, awal minggu ini. (SPA)
MAKKAH: Jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid sekitar Makkah untuk kali pertama, semalam, sejak perintah berkurung akibat pandemik COVID-19 ditarik balik sepenuhnya di Arab Saudi, awal minggu ini.
Arab News melaporkan, masjid di Tanah Suci ini dibuka 20 minit sebelum azan dan ditutup 20 minit selepas solat Jumaat bagi mengelakkan penularan wabak itu.
Jemaah dikehendaki memastikan penjarakan sosial dua meter antara satu sama lain ketika menunaikan solat, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.
Kawasan berwuduk dan tandas di masjid bagaimanapun kekal ditutup, manakala kanak-kanak tidak dibenarkan hadir sebagai antara langkah untuk mencegah virus itu daripada merebak. – AGENSI