MalaysiaSetempat

Lebih 10 tahun tahan bau busuk loji kumbahan

LEBIH 5,000 penduduk di Taman Kota Masai di sini terpaksa menghidu bau busuk dari loji kumbahan berdekatan yang didakwa rosak sejak 10 tahun lalu.

Penduduk, Zulkifli Abd Rahman, 55, berkata pencemaran bau itu mengakibatkan penduduk loya dan pening kepala.

Katanya, tempoh 10 tahun itu terlalu lama untuk penduduk terus bersabar dengan pencemaran bau busuk.

“Bau busuk ini puncanya daripada sisa kumbahan najis yang gagal diproses dengan betul kerana pam air rosak dan tidak dibaiki hingga sekarang.

“Difahamkan loji yang ada ini menggunakan sistem kumbahan najis kaedah lama.

“Pihak bertanggungjawab perlu membaiki atau memodenkan sistem kumbahan ini, supaya masalah dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di persekitaran loji kumbahan di Taman Kota Masai, di sini, hari ini.

Bagi Penduduk, R Arjuna, 57, memberitahu pelbagai aduan sudah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab tetapi tiada tindakan dibuat.

Katanya, bau busuk kumbahan itu boleh dihidu dari jarak satu kilometer.

“Semasa hujan atau angin, bau busuk semakin kuat, kita boleh lihat air kumbahan yang mengalir ke dalam longkang besar di taman ini berwarna hitam,” katanya yang menetap di taman itu sejak 17 tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon yang melawat kawasan itu berkata loji kumbahan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab dan penyelenggaraan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Masalah ini sudah saya maklumkan kepada yang Dipertua MPPG Zainor Adani dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud supaya dibaiki.

“Saya sudah periksa, semua loji kumbahan di Tebrau masih di bawah selenggaraan MPPG dan Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB).

“Sepatutnya MPPG dan MBJB serahkan 206 loji kumbahan kepada pihak Indah Water Konsortium (IWK) pada 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan. Kira-kira 70 peratus loji kumbahan yang ada di Johor Bahru dan Pasir Gudang sudah tidak berfungsi,” katanya.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close